Wednesday, November 4, 2020

PASUKAN PAHANG MAHUKAN KEDAH PULANG HAMPA?

Pasukan Pahang perlu menyajikan prestasi lebih yang mantap apabila melayan kunjungan Kedah di Stadium Darul Makmur, malam ini.

Pengurus Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, pasukan Pahang tidak boleh terlepas tiga mata walaupun pada ketika ini Kedah dilihat berada pada tahap prestasi terbaik.

Pasukan Pahang Tiada Pilihan Selain Kutip 3 Mata

“Pahang perlu mendapatkan mata maksimum dengan hanya berbaki lagi tiga perlawanan, untuk menamatkan saingan Liga Super pada kedudukan terbaik. Biarpun bakal berdepan tentangan sengit, pemain Pahang perlu bijak untuk memanfaatkan apa jua peluang yang dimiliki bagi menafikan Kedah daripada membawa pulang mata.

“Kegagalan mengutip tiga mata ketika seri 2-2 dengan Felda United FC minggu lalu, diharap tidak menjejaskan semangat, sebaliknya meningkatkan lagi motivasi untuk tampil lebih agresif dan padu,” katanya.

Mohammed Suffian berkata, pemain perlu meningkatkan persefahaman khususnya gandingan bersama pemain muda yang mula menunjukkan peningkatan dan keyakinan.

Katanya lagi, perlawanan yang berbaki yang bakal dihadapi skuad Pahang sangat mencabar kerana berdepan Perak dan Terangganu FC (TFC) selepas bertemu Kedah malam ini. Kedua pasukan tersebut dilihat menang besar dalam perlawanan terakhir masing-masing.

“Saya juga mengharapkan barisan utama dapat disenaraikan selepas berdepan masalah kecederaan membabitkan beberapa pemain seperti Dickson Nwakaeme dan Herold Goulon. “Jika dua import ini tidak dapat beraksi Sabtu ini saya masih percaya tanggungjawab yang bakal diberikan kepada pemain lain dapat dilaksanakan,” katanya.

Anda rasa pasukan mana yang akan meraih kemengangan malam ini? Kita nantikan saja keputusannya. Adakah kisah separuh akhir Piala Malaysia 2019 antara Kedah dan Pahang akan berulang atau sebaliknya? Tunggu malam ini.